My followers

Tuesday, December 27, 2011

bahaya mengumpat...

Dosa Mengumpat Hakis Pahala, Amalan Baik Manusia



Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya yang bermaksud: “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim)


Oleh kerana buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. 


Perasaan iri hati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada
perbuatan mengumpat. Ia mungkin boleh merebak sehingga mencetuskan huru- hara dan pembunuhan.


Mengumpat juga boleh berlaku ketika bergurau dan melawak apabila
menggunakan perkataan atau perbuatan melambangkan keburukan seseorang.


Rasulullah saw pernah menegur Siti Aishah kerana berkata 'alangkah pendeknya
perempuan itu' kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan Rasulullah saw.Kata-kata itu turut dianggap mengumpat kerana menyebut kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilkannya.


Ini bermakna kita tidak boleh memanggil seseorang dengan panggilan
menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak atau buncit


Tetapi masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang
sebagai panggilan untuk melawak. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan panggilan 'mesra'.Kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu Selagi tidak menimbulkan rasa marah pada yang dipanggil...


Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai perbuatan dosa.


Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).


Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. 


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.”


Pahala dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.


Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya. Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”


Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.


Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.


Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat antaranya:


1-Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.


2-Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi dalam sudah busuk dan berulat.


3-Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.


Dijelaskan pula oleh para Ulama’ akan beberapa keadaan yang dibolehkan untuk kita bercakap (Mengumpat) mengenai saudara kita:


1. Jika seseorang itu dizalimi, dianiyai. (dibolehkan menceritakan siapa yang menzaliminya)


2. Untuk meminta pertolongan orang lain supaya menegur, mencegah saudaranya yang sedang melakukan kemungkaran. (tidak mengapa diceritakan keadaan saudaranya itu)


3. Untuk meminta, bertanyakan persoalan berkaitan hukum2 Agama. (contoh: seorang Hamba bertanyakan sesuatu mengenai hukum, lalu diceritakannya jika si A atau si B ini melakukan perkara demikian apa hukumnya)


4. Untuk memberi peringatan pada kaum Muslimin tentang kejahatannya. (contoh: jangan berjalan, berkawan dengannya, kerana dia seorang penipu, pencuri, penjenayah dan sebagainya)


5. Untuk menerangkan keadaan seseorang yang ingin dinikahinya. (kesempurnaan anggotanya, pekerjaannya dan segala perkara yang menjadi kewajipan diketahui kedua pihak)


6. Jika seseorang yang amat jelas, terang2 dengan sifat kefasikannya.


Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:


1-Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang.


2-Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah.


3-Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat.


4-Bergurau dan suka berlawak untuk mencela, mengatakan kelemahan serta kecacatan hingga mengaibkan orang lain.


5-Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak serta sombong kerana memandang rendah orang lain. 


Akhirnya mudah-mudahan kita semua terselamat dari segala bentuk perkara yang dilarang oleh Allah swt dan berusaha mencegahnya, mahupun pada diri kita dan sahabat-sahabat kita

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...