Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa agar melihat punca sebenar wujudnya gerakan keganasan, ekstremisme serta kumpulan militan, dan menyediakan pelan untuk menanganinya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan kematian pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia percaya isu keganasan dapat ditangani secara berkesan dengan mengatasi punca penyebab.
"Untuk berbuat demikian, adalah penting penekanan diberi kepada pendidikan bagi menangani kejahilan, kemunduran dan buta huruf serta menyediakan peluang untuk bebas daripada kemiskinan.
"Pada masa yang sama, tidak kurang pentingnya usaha untuk menyelesaikan konflik dan penindasan yang menyumbang kepada keganasan," katanya hari ini. Malaysia katanya, mengambil maklum akan kematian Osama dalam satu operasi oleh pasukan keselamatan Amerika Syarikat di Abottabad, Pakistan pada 1 Mei.
Beliau berkata kematian Osama menjadi pengajaran bahawa keganasan bukan cara yang baik untuk mencapai matlamat seseorang. "Kematian Osama mungkin tidak menghapuskan organisasi pengganas Al-Qaeda. Bagaimanapun, ketiadaan Osama akan menjejaskan kekuatan Al-Qaeda kerana beliau adalah inspirasi dan asas kepada gerakan itu.
"Menjadi harapan kami dunia akan lebih aman, selamat dan adil dengan kematian Osama," katanya. Anifah berkata Malaysia sentiasa berpendirian bahawa langkah menentang keganasan antarabangsa tidak harus mencabuli kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah kerajaan.
"Keganasan juga tidak harus dikaitkan dengan mana-mana bangsa, budaya atau agama kerana ini hanya meningkatkan kemungkinan dunia dipolarisasikan dengan agama dan etnik, yang boleh menyemarakkan lagi keganasan," katanya.
Beliau berkata kerajaan Malaysia menentang semua bentuk ekstremisme kerana perbuatan itu berlawanan dengan prinsip Islam, dan membunuh orang awam ditolak sekeras-kerasnya oleh agama Islam.
"Walaupun ada perkara yang perlu diperbetulkan daripada segi keadilan, kita tidak boleh melawannya dengan membunuh orang awam yang tidak berdosa, Muslim seharusnya menggunakan kebijaksanaan, mengamalkan wastiyyah (kesederhanaan) dan menolak keganasan," katanya.
Anifah berkata Malaysia akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas untuk membendung penyebaran kegiatan pelampau dan fanatik agama dengan mempromosikan toleransi pada kalangan masyarakat pelbagai bangsa dan agama, menekankan kesederhanaan dan menyuburkan ajaran Islam yang sebenar.
- Kuala Lumpur, 3 Mei 2011
Fikirkan
Islam bukan agama keganasan. Ajaran dari Al-Quran yang diimani orang Islam bukan sahaja menjadi panduan hidup mereka tetapi sesuai juga untuk bukan Islam kerana isi kandungannya mencakupi keadilan, memelihara orang yang memerlukan dan bersalah serta mencegah dari segala kerosakan. Allah juga berfirman, "
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. [Surah al-Qasas: Ayat 77]
No comments:
Post a Comment