My followers

Saturday, December 24, 2011

INDAHNYA perkahwinan...

Tazkirah (Indahnya Perkahwinan )








Percayakah kalau dikatakan perkahwinan itu adalah sesuatu yang indah?

Secara lisan mungkin kita akan berkata “percaya”, tetapi sememangnya perkahwinan itu sukar dirasai tanpa menjalaninya. Jadi, boleh dikatakan sebenarnya anda belum betul – betul yakin akan pernyataan diatas. Kadangkala, banyak alasan dari mulut kenapa kita tidak bersegera berkahwin, diantaranya :

1-Belum habis pengajian
2-Secara kewangan masih belum mampu.
3-Anda sedang menjalani suatu program yang mensyaratkan tidak boleh berkahwin dalam jangka masa waktu tertentu.
4-Belum bertemu orang yang sesuai atau belum mendapat jodoh.
5-Masih ingin menikmati masa muda.
6-Belum mendapat restu dari orang tua (mungkin ibubapa merasa tidak sesuai dengan calon pasangan anda).
7-Belum berani bertanggungjawab dan sebagainya…

Kerana perkahwinan, kita akan kehilangan :

1-Waktu untuk berkumpul dengan rakan – rakan
2-Waktu untuk menjalankan hobi. Malah anda hampir akan kehilangan hobi lama
3-Hak peribadi, misalnya merokok, bergosip, dan sebagainya – yang kebanyakan sebenarnya adalah hawa nafsu

Semua alasan di atas adalah alasan yang sebenarnya timbul dari dalam hati kita.

Hati adalah sesuatu yang sangat mengikut pengaruh, baik dari dalam diri kita sendiri mahupun dari luar. Apabila dapat mempengaruhi hati dengan agama, dengan berzikir kepadaNya, menyebut namaNya, itu jauh lebih baik. Yakinlah dengan seyakin-yakinnya, ridha Allah SWT jauh lebih baik daripada dunia seisinya.

Kita belum menamatkan pengajian di universiti, belum menjadi seorang graduan. Seringkali perkara ini dihubungkan dengan tradisi orang-orang tua kita, jika mahu berkahwin harus “menjadi orang” dahulu, iaitu Belajar –» kerja –» Kahwin.

Malah ada juga yang menetapkan ketentuan seperti mempunyai harta yang cukup (3 buah kereta Mercedes) dan perkara seumpama ini telah menjadi wajib dalam masyarakat kita

Padahal sebenarnya belajar itu merupakan satu proses seumur hidup, bermula dari dalam rahim sehingga kita mati. Tiada salahnya berkahwin ketika masih di universiti. Kesannya mungkin hanya masalah pembahagian waktu. Aturlah waktu agar dapat bekerja separuh waktu. Waktu menghadiri kuliah atau membuat assignment, fokuskan tenaga dan fikiran kita. Begitu juga ketika bekerja separuh waktu. Kuncinya, mengatur masa dan mengatur fokus

Bagaimana apabila kita merasakan secara kewangan masih belum mampu?

QS 24. An Nur ayat 32 : Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Ayat ini adalah motivasi utama untuk yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkahwin. Kita akan menjadi super yakin apabila kita sudah berkahwin dan menjalaninya. Tetapi kita harus sabar dan tawakkal kepada Allah serta tetap berusaha. Walaupun disaat kita benar-benar kehabisan wang. Jangan menjalankan maksiat dan pekerjaan yang haram hanya kerana tiada wang.

Apabila kita sedang mengikuti suatu program yang mensyaratkan tidak boleh berkahwin dalam jangka waktu yang tertentu, tetaplah mengikuti program tersebut dan jagalah keinginan kita untuk berkahwin. Untuk lebih yakin lagi, jelaskan kepada ibubapa dan calon mertua. Berjanjilah untuk segera berkahwin setelah jangka waktu tersebut dilepasi dan sekaligus minta restu mereka.

Belum bertemu yang sesuai ?

Itu bergantung kepada kriteria anda. Tidak perlu berlebihan dalam hal ini. Yang paling asas adalah pasangan yang kita inginkan tidak perlu seperti kita. Dan lihatlah diri kita sendiri. Kalau kita “begini” kemungkinan kita akan mendapatkan pasangan yang “begini” pula. Jika kita seorang yang selekeh, jangan mengharapkan pasangan yang kcak atau cantik.

Kalau kita cuma berlulusan SPM, jangan terlalu berharap dapat yang lulusan Ijazah.Kuncinya, batasi kriteria kita hanya dengan apa yang ada di Al Qur’an dan sunnah Nabi. Semakin cerewet kita, semakin sukar kita akan bertemu pasangan yang sesuai. Dan selalulah meminta petunjukNya.

Jodoh itu termasuk ketentuan Allah yang kita sendiri tidak tahu, tetapi Insya Allah kita pasti akan mendapatkannya.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (QS 30. Ar Ruum ayat 21).

Ibu Bapa yang tidak bersetuju

Sebaiknya kita lihat dulu, apa masalahnya. Mungkin ibubapa kurang berkenan, contohnya kerana berambut botak, berkelakuan buruk, mempunyai pekerjaan haram atau suka membuat perkara maksiat. Untuk kes ini, ajaklah pasangan kita untuk memperbaiki diri terutama yang berhubung dengan akhlak dan bersabarlah. Selalukan mempertemukan pasangan kita dengan ibubapa. Ada pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Biasanya ini hanya masalah waktu. Berprasangka baiklah kepada Allah dan ibubapa.

Tetapi apabila ibu bapa tidak setuju kerana alasan yang “pelik – pelik”, misalnya kerana harta atau keturunan, Jelas secara perlahan – lahan dengan bahasa yang sopan kepada ibubapa bahawa perkara itu tidak penting. Apabila ibubapa masih berkeras juga dan kita sudah tetap dengan pilihan kita, mahu terus atau mahu mematuhi ibubapa?

Sebenarnya, dari satu sudut, restu orang tua (terutama ibu) itu penting, tetapi kewajipan kita untuk taat kepada ibubapa hanya apabila sesuatu perkara itu benar di mata Allah dan tetaplah berbuat baik kepada ibubapa.

Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya). (QS 6. Al An’aam 151)

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (QS 17. Al Israa’ 23)

Kemudian, tentang hobi, kesenangan, dan sebagainya yang berhubungan dengan hawa nafsu. Percayalah, Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik kerana dengan menikah bererti kita mematuhi perintah Allah dan sunnah Nabi. Allah akan senang kepada hamba-Nya yang mahu mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Kita akan merasakan indahnya perkahwinan kerana :

1-Kita boleh membawa pasangan kita ke arah kebaikan, menjadi pendakwah kepada pasangan dan anak, dan kita akan mengetahui lebih banyak lagi tentang agama sekaligus mempraktikkannya bersama keluarga kita. Kalau berdakwah kepada orang lain mungkin kita akan malu-malu, tetapi itu tidak berlaku apabila kita berdakwah kepada pasangan dan anak kita

2-Allah akan selalu menolong kita dan perkahwinan akan membuat kita lebih menyedari bahawa Allah selalu memperhatikan kita. Doa kita akan lebih cepat dikabulkan.

3-Sesuatu yang diharamkan menjadi halal kerana perkahwinan.

4-Nafsu duniawi kita lebih terkawal

Keindahan-keindahan di atas sudah melebihi segala keindahan sebelum perkahwinan. Kalau Anda masih takut juga untuk berkahwin, yakinkan bahawa perkahwinan adalah salah satu hijrah (merubah diri untuk menjadi lebih baik).

Semoga Bermanfaat..

Saturday, December 17, 2011

6 perkara jamin syurga..





Jaminlah Untukku 6 Perkara, Aku Jamin Syurga Untukmu

Rasulullah saw bersabda: “Jaminlah untukku enam perkara, aku jamin syurga untukmu, iaitu: bercakap benarlah bila kamu berbicara, tepatilah janji bila kamu berjanji, sampaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluanmu tahanlah pandangan matamu, dan tahanlah tanganmu.”(Hadith Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban, Baihaqi)

1.Bercakap benarlah bila kamu berbicara.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Cukuplah seseorang dianggap berbohong apabila dia senantiasa menceritakan semua yang dia dengar. (tanpa diselidiki kebenarannya)” (Riwayat Imam Muslim)

2. Tepatilah janji bila kamu berjanji.

Ada dua jenis janji iaitu janji bertulis dan janji secara mulut atau lisan. Kedua-duanya akan ditanya dihari kiamat. Dalam quran disebut:

dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.(Al-Isra, 34)

3. Sampaikanlah apabila kamu diberi amanah

Kiamat berlaku disaat amanah disia-siakan. Kerja juga adalah satu amanah, sempurnakanlah kerja agar murah rezeki. Nabi Muhammad juga digelar Al-Amin kerana amanah. Amanahlah dalam semua aspek. Serahkanlah amanah kepada yang pakar dalam bidangnya.

Rasulullah saw bersabda, “tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji.” (HR. Ahmad).

Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila suatu perkara diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran (Riwayat Bukhari)

4. Jagalah kemaluanmu iaitu seks.

Jauhi dari digunakan pada tempat yang salah. (haram). Di dunia Allah beri satu (1) tenaga kepada setiap orang lelaki. Satu tenaga ini boleh diguna hanya kepada 4 isteri. Ramai orang yang tidak dapat jaga 1 tenaga dan nafsu ini dan digunakan pada tempat yang haram, iaitu perhubungan seks haram, pelacuran. Di syurga Allah akan beri 100 tenaga untuk lelaki dan perempuan. Jagalah tenaga yang 1 di sini untuk dapat 100 di sana.

5. Tahanlah pandangan matamu.

Kata pepatah Melayu dari mata turun ke hati. Kerana itulah kita disuruh merendahkan pandangan daripada memandang perkara yang haram dan wajah wanita atau lelaki yang bukan mahram. Diriwayatkan, Rasulullah berjalan dengan agak laju dan menundukkan pandangan.

An-Nur [30] Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara 

kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

An-Nur [31] Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)……

6. Tahanlah tanganmu.

Tangan jugalah yang menyumbang kepada kejahatan walaupun sekadar mencuri selipar. Oleh itu ikatlah dan kawallah tangan daripada melakukan kejahatan.

Friday, November 25, 2011

puisi awal tahun baru hijrah..

Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
              Kotornya diri dengan maksiat dan noda,

Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.

Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.

Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.

Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

Sungguh,
Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.

Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,

Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.

Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.

Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....

Tuesday, October 25, 2011

tiada agama seindah islam...


Rasulullah s.a.w bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul; dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi, sudah tentu ia menurutku." (Jabir r.a)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya." Riwayat Bukhari
Islam adalah suatu agama yang mulia dan ia memuliakan penganutnya. Buktinya Islam memberikan ganjaran yang sangat besar bagi setiap kebaikan yang dilakukan di mana kelebihan atau ganjaran ini tidak akan diperolehi dengan pengakuan mulut sahaja (mengaku Islam sahaja) tetapi hanya akan dicapai dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik secara ikhlas dan ihsan kerana Allah S.W.T. Ihsan bererti mengerjakan sesuatu ibadat dan kebaikan dengan sebaik-baiknya, lengkap dengan segala peraturan serta ikhlas kepada Allah iaitu bersih dari perbuatan syirik dan sifat munafiq serta bersih daripada perasaan riya', ujub dan sebagainya. Dengan lain perkataan ihsan itu adalah mengerjakan sesuatu ibadat seolah-olah seseorang itu melihat Allah serta meyakini bahawa Allah sedang memerhatikannya.
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda "Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) pura-pura menurunkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdaya orang lain supaya membelinya dengan harga yang lebih tinggi, dan janganlah kamu benci membenci atau bermusuhan dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan pulau memulaukan sesama sendiri, dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual yang lain; (janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara". Riwayat Muslim

Wednesday, October 5, 2011

erti kehidupan sebenar..



ASSALAM...sekadar ingin share ni utk kwn2...silalah bace dan muhasabah diri..
Aku bukan insan yang sudah cukup lama hidup di muka bumi. Aku juga bukan insan yang arif dalam hal duniawi apatah lagi akhirat. Tetapi aku juga manusia biasa yang mempunyai kehidupan. Sekilas aku melihat, manusia tidak pernah lekang dari ujian Allah.
Ujian Allah ada bermacam bentuk, ada yang diuji dengan kekayaan. Sememangnya manusia mana yang tidak berasa suka dan gembira dengan nikmat kemewahan yang diberikan. Sayang sekali ada yang bongkak, angkuh dan membangga diri dengan kemewahan atau nikmat yang Allah anugerahkan. Namun tidak semua begitu. Manusia yang tahu bersyukur, pasti kemewahan itu diuruskan dengan sebaik-baiknya ke jalan Allah. Itu juga adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.
Sesungguhnya, setiap orang yang beriman akan diuji oleh Allah dengan ujian yang tidak pernah diduga. Paling perit apabila, manusia itu diuji dengan musibah atau bencana yang sangat berat untuk diterima dan ditempuh. Semestinya saat diuji, kesabaran yang tinggi amat diperlukan. Pada waktu itulah, kita memerlukan sokongan keluarga, saudara dan sahabat handai yang paling akrab untuk memberikan sokongan.
Sudah menjadi lumrah manusia, kita akan menangis apabila merasakan ujian Allah itu tidak tertanggung. Ingin sahaja hati ini memberontak. Tetapi ingatlah kembali, sesungguhnya kita hanya hamba yang lemah. Pada suatu ketika, kita akan berada di atas, di mana kita tidak tahu bersyukur dan tidak berfikir dari mana datangnya kesenangan itu, pastinya kita berada dalam kerugian kerana melupakan Allah yang memberi segala nikmat.
Pada suatu ketika, kita akan berada di bawah. Saat Allah menarik kembali kesenangan yang diperolehi maka pada saat itu, kita manusia akan menadah tangan kepada Allah dan bertanya mengapa derita diberikan kepada kita. Pada saat itulah baru kita ketahui wujudnya Allah sebagai Tuhan yang berkuasa dalam menentukan segalanya.
Ketahuilah, setiap yang terjadi mempunyai sebab dan semestinya perkara yang telah terjadi akan mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya manusia tidak tahu apa yang terbaik disediakan untuk manusia yang lain. Tetapi, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Kerap kali kita akan mengeluh memikirkan takdir yang menimpa diri, kesedihan akan mula menguasai diri, kemalasan menguasai diri dan berasa malas untuk bangun meneruskan kehidupan, sehinggakan terkadang melupakan tanggungjawab ibadah solat terhadap Allah S.W.T.
Percayalah, Allah akan menurunkan sesuatu ujian bertepatan dengan kemampuan hamba-Nya. Setiap kita pernah merasai kesusahan, kesedihan, di mana kita sendiri merasa sukar untuk diri kita sembuh setelah berlakunya bermacam perkara yang melunturkan semangat kita. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, sebagai pesanan untuk diri sendiri juga, semestinya kita perlu berfikir, mengapa Allah menguji kita sebegitu rupa? Jawabnya tidak lain, itulah tandanya Allah masih sayangkan kita dan supaya kita sentiasa ingat kepada-Nya. Cuba kita imbas kembali, berapa banyak  kita mengingati-Nya? Dengan kerja yang berlambak, soal keduniaan kerapkali menjadi keutamaan. Allah sentiasa mengingati kita, tetapi kita lalai mengingatinya.
Allah mahu kita berfikir. Kita sendiri tahu, setiap yang berlaku tersimpan pengajaran. Maka jadikanlah pengajaran itu sebagai pedoman di masa akan datang. Mungkin hari ini kita dalam kesedihan dan kesusahan, tetapi akan tiba masanya Allah akan memberikan kita kesenangan dan kebahagiaan yang kita sendiri tidak pernah jangka. Teruskanlah berdoa kepada-Nya, berserah kepada-Nya setelah berusaha.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar doa hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Dalam apa-apa keadaan pun, ingatlah Allah sebagai tempat pergantungan kita yang mutlak. Tanpa izin-Nya tidak akan terjadi apa yang kita mahukan. Hiduplah untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Moga hati kita menjadi tenang dalam menempuh segala jenis ujian yang diturunkan oleh-Nya.
Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan mendapat rahmat yang berpanjangan dari-Nya. Sesungguhnya manusia itu tidak lekang dari melakukan kesalahan, maka selaku sudara sesama Islam, berpesan-pesanlah kita sesama umat manusia. Jika ada hati yang merintih, mengadulah kepada-Nya dan kita di dunia laksanakanlah amanah sesama umat, bantu selagi terdaya kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membuat kebaikan demi mendapat keredhaan Allah.
Segala keburukan datangnya dari diri ini, tiada niat untuk berbangga diri. Tiada niat menunjuk hanya sekadar berkata-kata, kerana aku juga manusia biasa yang belajar dari kehidupan di bawah naungan Pencipta. Semoga beroleh manfaat dan maafkanlah andai tersilap kata dan menyinggung rasa kerana kebaikan dan kesempurnaan mutlak itu datangnya dari Allah S.W.T. Marilah bersama-sama menghayati erti kehidupan dan fikirlah betapa Allah itu sentiasa ada untuk makhluk ciptaan-Nya sama ada semasa susah dan senang. Wallahua'alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...