Takbir Sempena Aidiladha
Apakah dalil disunatkan bertakbir pada hari raya?
Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menceritakan; “Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehing
ga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”. (Riwayat Imam Bukhari)
Siapakah yang disunatkan bertakbir?
Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan orang dewasa, orang dalam negeri atau sedang bermusafir. Termasuklah wanita-wanita yang haid atau lelaki-lelaki yang berjunub. (al-Majmu’, 5/42).
Ketika bertakbir, adakah disunatkan meninggikan suara?
Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi untuk menzahirkan syi’ar agama. Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan :
كان ابن عمر يكبر يوم العيد في الأضحى والفطر ويكبر ويرفع صوته
“Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi)
Namun dikecualikan kaum wanita; mereka hendaklah bertakbir dengan suara perlahan. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya menjelaskan; “Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para lelaki sahaja, tidak bagi perempuan”. (Lihat halaman 151)
Berapa jenis takbir hari raya?
Takbir pada hari raya ada dua jenis;
1. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.
2. Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja (sama ada solat fardhu, jenazah atau solat-solat sunat).
Bilakah bermulanya takbir mursal dan bila pula berakhir?
Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat hari raya. Firman Allah :
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah: 185)
Berkata para ulamak : Ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan dikiaskan kepadanya hari raya korban.