My followers

Tuesday, October 25, 2011

tiada agama seindah islam...


Rasulullah s.a.w bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul; dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi, sudah tentu ia menurutku." (Jabir r.a)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya." Riwayat Bukhari
Islam adalah suatu agama yang mulia dan ia memuliakan penganutnya. Buktinya Islam memberikan ganjaran yang sangat besar bagi setiap kebaikan yang dilakukan di mana kelebihan atau ganjaran ini tidak akan diperolehi dengan pengakuan mulut sahaja (mengaku Islam sahaja) tetapi hanya akan dicapai dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik secara ikhlas dan ihsan kerana Allah S.W.T. Ihsan bererti mengerjakan sesuatu ibadat dan kebaikan dengan sebaik-baiknya, lengkap dengan segala peraturan serta ikhlas kepada Allah iaitu bersih dari perbuatan syirik dan sifat munafiq serta bersih daripada perasaan riya', ujub dan sebagainya. Dengan lain perkataan ihsan itu adalah mengerjakan sesuatu ibadat seolah-olah seseorang itu melihat Allah serta meyakini bahawa Allah sedang memerhatikannya.
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda "Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) pura-pura menurunkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdaya orang lain supaya membelinya dengan harga yang lebih tinggi, dan janganlah kamu benci membenci atau bermusuhan dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan pulau memulaukan sesama sendiri, dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual yang lain; (janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara". Riwayat Muslim

Wednesday, October 5, 2011

erti kehidupan sebenar..



ASSALAM...sekadar ingin share ni utk kwn2...silalah bace dan muhasabah diri..
Aku bukan insan yang sudah cukup lama hidup di muka bumi. Aku juga bukan insan yang arif dalam hal duniawi apatah lagi akhirat. Tetapi aku juga manusia biasa yang mempunyai kehidupan. Sekilas aku melihat, manusia tidak pernah lekang dari ujian Allah.
Ujian Allah ada bermacam bentuk, ada yang diuji dengan kekayaan. Sememangnya manusia mana yang tidak berasa suka dan gembira dengan nikmat kemewahan yang diberikan. Sayang sekali ada yang bongkak, angkuh dan membangga diri dengan kemewahan atau nikmat yang Allah anugerahkan. Namun tidak semua begitu. Manusia yang tahu bersyukur, pasti kemewahan itu diuruskan dengan sebaik-baiknya ke jalan Allah. Itu juga adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.
Sesungguhnya, setiap orang yang beriman akan diuji oleh Allah dengan ujian yang tidak pernah diduga. Paling perit apabila, manusia itu diuji dengan musibah atau bencana yang sangat berat untuk diterima dan ditempuh. Semestinya saat diuji, kesabaran yang tinggi amat diperlukan. Pada waktu itulah, kita memerlukan sokongan keluarga, saudara dan sahabat handai yang paling akrab untuk memberikan sokongan.
Sudah menjadi lumrah manusia, kita akan menangis apabila merasakan ujian Allah itu tidak tertanggung. Ingin sahaja hati ini memberontak. Tetapi ingatlah kembali, sesungguhnya kita hanya hamba yang lemah. Pada suatu ketika, kita akan berada di atas, di mana kita tidak tahu bersyukur dan tidak berfikir dari mana datangnya kesenangan itu, pastinya kita berada dalam kerugian kerana melupakan Allah yang memberi segala nikmat.
Pada suatu ketika, kita akan berada di bawah. Saat Allah menarik kembali kesenangan yang diperolehi maka pada saat itu, kita manusia akan menadah tangan kepada Allah dan bertanya mengapa derita diberikan kepada kita. Pada saat itulah baru kita ketahui wujudnya Allah sebagai Tuhan yang berkuasa dalam menentukan segalanya.
Ketahuilah, setiap yang terjadi mempunyai sebab dan semestinya perkara yang telah terjadi akan mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya manusia tidak tahu apa yang terbaik disediakan untuk manusia yang lain. Tetapi, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Kerap kali kita akan mengeluh memikirkan takdir yang menimpa diri, kesedihan akan mula menguasai diri, kemalasan menguasai diri dan berasa malas untuk bangun meneruskan kehidupan, sehinggakan terkadang melupakan tanggungjawab ibadah solat terhadap Allah S.W.T.
Percayalah, Allah akan menurunkan sesuatu ujian bertepatan dengan kemampuan hamba-Nya. Setiap kita pernah merasai kesusahan, kesedihan, di mana kita sendiri merasa sukar untuk diri kita sembuh setelah berlakunya bermacam perkara yang melunturkan semangat kita. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, sebagai pesanan untuk diri sendiri juga, semestinya kita perlu berfikir, mengapa Allah menguji kita sebegitu rupa? Jawabnya tidak lain, itulah tandanya Allah masih sayangkan kita dan supaya kita sentiasa ingat kepada-Nya. Cuba kita imbas kembali, berapa banyak  kita mengingati-Nya? Dengan kerja yang berlambak, soal keduniaan kerapkali menjadi keutamaan. Allah sentiasa mengingati kita, tetapi kita lalai mengingatinya.
Allah mahu kita berfikir. Kita sendiri tahu, setiap yang berlaku tersimpan pengajaran. Maka jadikanlah pengajaran itu sebagai pedoman di masa akan datang. Mungkin hari ini kita dalam kesedihan dan kesusahan, tetapi akan tiba masanya Allah akan memberikan kita kesenangan dan kebahagiaan yang kita sendiri tidak pernah jangka. Teruskanlah berdoa kepada-Nya, berserah kepada-Nya setelah berusaha.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar doa hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Dalam apa-apa keadaan pun, ingatlah Allah sebagai tempat pergantungan kita yang mutlak. Tanpa izin-Nya tidak akan terjadi apa yang kita mahukan. Hiduplah untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Moga hati kita menjadi tenang dalam menempuh segala jenis ujian yang diturunkan oleh-Nya.
Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan mendapat rahmat yang berpanjangan dari-Nya. Sesungguhnya manusia itu tidak lekang dari melakukan kesalahan, maka selaku sudara sesama Islam, berpesan-pesanlah kita sesama umat manusia. Jika ada hati yang merintih, mengadulah kepada-Nya dan kita di dunia laksanakanlah amanah sesama umat, bantu selagi terdaya kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membuat kebaikan demi mendapat keredhaan Allah.
Segala keburukan datangnya dari diri ini, tiada niat untuk berbangga diri. Tiada niat menunjuk hanya sekadar berkata-kata, kerana aku juga manusia biasa yang belajar dari kehidupan di bawah naungan Pencipta. Semoga beroleh manfaat dan maafkanlah andai tersilap kata dan menyinggung rasa kerana kebaikan dan kesempurnaan mutlak itu datangnya dari Allah S.W.T. Marilah bersama-sama menghayati erti kehidupan dan fikirlah betapa Allah itu sentiasa ada untuk makhluk ciptaan-Nya sama ada semasa susah dan senang. Wallahua'alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...