My followers

Sunday, June 26, 2011

peringatan buat pemuda!!

Berkata tentang pembela-pembela agama Allah, marilah kita menyingkap kembali sirah terdahulu pada zaman para sahabat.
Siapakah dia yang telah menjadi pejuang-pejuang agama Allah pada zaman dahulu?
Merekalah para pemuda yang kental hatinya, mantap imannya, sempurna akidahnya dan tidak terbuai dengan tipu daya dunia. Mereka inilah yang telah ditarbiyah oleh Rasulullah dalam perancangan menegakkan panji-panji islam.
Abu Bakar, lebih muda 3 tahun daripada Rasulullah, Umar, memeluk islam pada umur 27 tahun, Ali, menerima hidayah pada umur 10 tahun, Mus'ab bin Umair, Abdullah ibn Mas'ud, Bilal bin Rabbah, Salman al Farisi dan berpuluh lagi para sahabat merupakan golongan pemuda yang begitu kukuh akidah mereka hasil didikan tarbiyah daripada Nabi Muhammad saw.
Sekarang mari kita pergi ke depan sedikit, iaitu selepas zaman para sahabat. Siapakah pejuang-pejuang agama Allah yang telah menegakkan ketauhidan di muka bumi ini. Dialah Salahuddin al-Ayyubi, yang telah menakluk Jerusalem pada umur 40 lebih. Dialah Sultan Muhammad al-Fateh, yang telah menakluk Constantinople pada umur 21 tahun.
Maka pada hari ini, mari kita bertanya pada diri kita, siapakah pemuda-pemuda yang akan kembali mendaulahkan Islam di muka bumi ini, siapakah pemuda-pemuda yang akan kembali menegakkan panji-panji syahadah di masa depan. Adakah kita akan tergolong dalam mereka-mereka yang menegakkan agama Islam. Adakah pada hari ini kita sudah cukup bersedia untuk menjadi pembantu-pembantu agama Allah. Mari kita tanya diri kita sendiri.
Adakah pemuda yang memenuhi masa lapangnya dengan movie akan dapat mencontohi Abu Bakar?
Adakah pemuda yang tidak lekang dengan lagu-lagu lagho akan dapat mencontohi Salman al-Farisi?
Adakah para pemuda yang tidur lambat kerana bermain game sama dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah terlepas solat tahajjudnya di malam hari sesudah baligh?
Di mana tahap kita pada hari ini?
Suka saya untuk membawa beberapa hadis yang berkata tentang para pemuda, yang sepatutnya diketahui dan diambil pelajaran oleh setiap daripada kita:
 Rasulullah saw bersabda: "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara...masa mudamu sebelum masa tuamu"(HR al-Hakim)
 Rasulullah saw bersabda: " Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan selain daripada perlindungan Allah........pemuda yang sentiasa mengabdikan diri pada Allah pada masa umurnya." (HR Bukhari dan Muslim)
 Rasulullah saw bersabda: " Sesungguhnya Allah sangat mengkagumi pemuda yang tidak ada baginya masa muda( berhibur dan bersuka ria)." (HR Ahmad dan Abu Ya'la)
 Rasulullah saw bersabda: " Tidak akan melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga ditanya kepadanya tentang 4 perkara:.....masa mudanya, pada apa dia telah habiskan." (HR Tirmizi)
Oleh itu marilah kita melakukan perubahan secara maksimum terhadap diri kita agar kita, Insya-Allah dipilih untuk turut bersama berada dalam perjuangan mereka yang menegakkan kembali islam.
Mungkin ada yang di antara kita merasakan dirinya tidak perlu untuk turut sama dalam perjuangan ini, merasakan dirinya cukup untuk sekadar memerhati. Di sini saya mahu membawa satu perumpamaan perbezaan bagi mereka yang sekadar memerhati dan bagi mereka yang turut bersama dalam perjuangan.
Baru-baru ini kelab 'Manchester United' berjaya memegang takhta liga. Oleh itu saya mahu bertanya, adakah sama perasaan para penyokong kelab itu dan Alex Ferguson? Adakah sama perasaan mereka yang sekadar bersorak dengan pemain kelab itu sendiri? Dan adakah sama imbalan mereka yang sekadar memerhati permainan dan mereka yang bersusah payah memenangi perlawanan bola itu?
Tidak sama sekali!
Perasaan mereka yang hanya memerhati akan pasti berbeza dengan mereka yang turut berjuang.
Imbalan mereka yang hanya memerhati pasti akan berbeza dengan mereka yang bersusah-payah.
- Artikel iluvislam.com

Thursday, June 23, 2011

dakwah tugas siapa??

"Dakwah? Diri sendiri pun tak betul, ada hati nak tegur orang lain? Aku tak mampu lagi la, tunggu la sikit masa lagi."
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, setiap muslim secara langsung atau tidak, perlu saling nasihat menasihati dan berdakwah antara satu sama lain. Tanggungjawab itu sudah tercatat sedari loh mahfuz lagi. Kita bukan sesiapa untuk menidakkan tugas ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 30:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Ramai diluar sana yang beranggapan seperti saya. Mungkin mereka tersilap faham akan konsep dakwah yang sebenar. Yelah, mana mungkin mahu berdakwah andai diri sendiri masih saja terumbang-ambing dengan keseronokan duniawi. Bagaimana mahu berdakwah kalau diri sendiri pun sekejap begitu sekejap begini. Namun sekarang,saya sedar bahawa dakwah itu tugas setiap manusia yang diutus menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Menurut tafsir Al-Quran, "Khalifah" pada ayat 30 ini bermaksud pengganti, pemimpin atau penguasa. Manusia diutuskan ke muka bumi ini untuk memimpin dalam mencapai keredhaanNya.

Tugas dakwah memang berat. Saya akui kebenarannya. Untuk diri saya yang baru mula bertatih ini, sememangnya kerja-kerja dakwah itu tidak mudah. Kerana bukan semua mampu berfikir seperti mana yang kita fikirkan. Namun, itulah tugas seorang hamba Allah yang bernama Khalifah. Tugas seorang hamba Allah yang perlu sentiasa meningkatkan diri sendiri dan menarik sahabat-sahabat agar bersama-sama berdiri di atas landasan iman yang kukuh. Seorang yang  berdakwah perlu mengamalkan cara dakwah yang bersifat 'Qudwah hasanah' iaitu Dakwah melalui tauladan yang baik. Sebagai contoh, kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik melalui perbuatan kita sendiri. Salah satu contoh adalah senyum. Senyumlah kerana ia seindah suria. Melalui senyuman, lebih mudah dakwah kita akan diterima dan ukhuwah juga boleh terjalin.
Oleh kerana itu, senyumlah kepada sahabat handai dan saudara mara. Anda tidak akan rugi apa-apa hanya kerana anda senyum. Malah, anda akan bahagia. Namun, perlulah diingatkan, senyumlah pada yang berhak sahaja. Kepada para wanita muslimah senyumlah dengan penuh batasan.
Selain itu kita perlu bercakap dan berdakwah secara lemah lembut. Akan tetapi lemah lembut yang dimaksudkan bukanlah bermakna bercakap dengan nada mendayu-dayu dengan bukan muhrim . Sekiranya perlu untuk bercakap dengan seseorang yang bukan muhrim, anda perlulah melembutkan cara percakapan tetapi perlu juga tegas menyampaikan mesej yang hendak disampaikan. Muslimah itu perlu mempunyai pendirian yang tegas dan bertutur dengan penuh hikmah.

Ayat 159 Surah Aali-'Imran:
"Maka berkat rahmat Allah, Engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya Engkau bersikap keras dan berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal."

Sahabat, kalau rasa lemah semangat untuk terus berjuang, renung-renungkanlah semula kisah nabi kita , Rasulullah s.a.w. Terlalu banyak rintangan dan dugaan yang baginda hadapi sehinggakan baginda pernah dilemparkan batu oleh kaum Quraisy sehingga terluka. Apalah sangat usaha kita hari ni berbanding kekasih Allah ini? Kuatkanlah semangat kalian!. Saya berharap agar kalian teruskan warisan Rasulullah s.a.w ini iaitu berdakwah ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar! InsyaAllah.

Sunday, June 19, 2011

insan yg ak sayangi..

Kepada insan yang aku sayangi,
Wahai sayangku, mengapa kau sering bersedih hati? Mengapa matamu yang indah itu sering kau basahi dengan airmata? Janganlah kau bazirkan airmata mu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri. Apakah kau lupa pada Pencipta kita? Ingatlah kau tidak pernah keseorangan tatkala kau merasakan dunia ini meminggirkan kau.
Tahukah kau bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria? Ujian itu tarbiyyah kepada kita. Kadang kala kita berasa begitu lemah dan tidak mampu menanggung bebannya.  Ada ketika kita berasa letih menghadapi ujian yang melanda diri.
Tapi ingatlah sayang, Allah s.w.t tidak akan menurunkan sesuatu ujian itu jika kita tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, kau hadapinya dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-Nya yang sabar.Cuba kau renungi sepotong Kalamullah ini;

"Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah."(Surah Al-Baqarah 2:286)

Kau juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang  dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu. Ingatlah pada Khaliq Maha Pencipta. Dia akan sentiasa berada di sisimu tidak kira kau dalam kesenangan mahupun kesusahan.Maka, sekalah airmatamu itu. Tabah dan teruskan perjuangan kau dengan aman. Berhentilah dari berkeluh-kesah kerana keluh-kesah itu datangnya dari bisikan syaitan durjana. Mintalah pada-Nya supaya kau diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melalui dugaan hidup.
Sayangku, si manis.
Ingin aku layangkan setitip pesanan buat diri mu dan juga diri ku ini. Kita hanya menumpang hidup di dunia Allah yang fana ini. Dunia ini umpama kita berjalan di dalam hutan yang penuh dengan duri-duri yang tajam serta binatang buas yang sering kali kita tidak sedari. Kadang kala kita alpa dengan keindahan dan ketenangannya. Lupa pada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan terluka di cucuk duri-duri tajam yang berbisa itu. Kau akan merintih dan mengaduh kesakitan.Menangis dan mengharapkan pertolongan.
Sayang, kita harus berhati-hati kerana terdapat banyak binatang buas di dalam hutan yang sedang kau lalui itu. Mereka hanya menunggu masa untuk menyerang mangsanya. Andai kata kau tersilap langkah, kau akan diterkam dan dibaham oleh binatang-binatang itu. Begitulah jugalah kehidupan kita. Dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ranjau berduri, kita sering berhadapan dengan masalah yang sering meyesakkan jiwa dan minda kita.
Kadang kala masalah itu sendiri meragut ketenangan hati sesorang insan. Fikiran melayang entah ke mana dan jiwa itu tidak pernah tenteram. Mulalah fikiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran.Hati tidak keruan memikirkan masalah. Insan yang lemah itu mula melupakan pada Penciptanya yang Maha Esa. Lupa segalanya.
Janganlah kau menjadi seperti itu. Jangan kau lupakan siapa yang mencipta dirimu dan apa tawajuh kehidupan kau sebenarnya sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Kau pujuklah hatimu dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya kau akan berasa lebih tenang. La Tahzan, wahai sayang!

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran:139)

Wahai sayang,
Aku mengerti apa yang kau rasakan di dalam hatimu itu. Jiwa kau terhimpit dengan penyesalan. Kau berasa gusar di atas kealpaan kau suatu ketika dahulu. Dirimu dipalit dengan dosa-dosa hitam. Aku sering mendengar kau merintih pada Allah s.w.t. tatkala kau berteleku di tikar sembahyangmu. Menangislah kerana Allah s.w.t. Jika kau mengalirkan airmata keinsafan, itu amat bermakna buatmu. Cara itu mampu mendekatkan kau dengan-Nya. Mintalah pada-Nya keampunan dan kemaafan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Ambillah iktibar dari firman Allah s.w.t ini;

"Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula."(Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)

Jadikan kisah silammu itu sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Sematkanlah di dalam hati supaya kau tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguh pada tali agamamu. Ingatlah pada ajaran Islam. Rasul bermadah bahawa "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."  
 Kau harus ingat sayangku. Kau amat beruntung dilahirkan dalam Ad-Din yang sempurna ini. Teruskanlah dengan membasahi bibirmu yang mungil itu dengan zikrullah dan kalamullah serta bermunajatlah pada Allah. Percaya dan yakin bahawa Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan mengurniakan maghfirah buat dirimu, sayangku. Kita adalah hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Kesilapan akan menguatkan diri kita.
Akhir kali ingin aku katakan, berusahalah sedaya yang kau mampu dan letakkanlah penggantunganmu kepada Allah.
Dari,
Insan yang menyayangi dirimu
- Artikel iluvislam.com

Friday, June 17, 2011

tanda-tanda hati jadi keras

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.
Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.
Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".
Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1.Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan.
Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud;
"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." - [Surah At-Taubah:54]

2.Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran.
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan;
"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3.Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat.
Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4.Kurang mengagungkan Allah.
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Tuesday, June 14, 2011

muhasabah diri..

 assalamualaikum..sekadar ingin berkongsi ape yg ak fikirkan...


cuba hayati kata2 dlm gambar ini...



 kehidupan ini ibarat roda yg berputar...kadangkala kite diatas dan ad masa kite dibawah...begitu juga dengan masa yg sering berlalu begitu pantas meninggalkan kite..sejauh mana kite beramal baik diatas dunia ini..sejauh mana kite gunakan masa kite utk berbuat baik dan mendekatkan diri kepada Allah...pernahkah kite berfikir apa tujuan kite hidup didunia yg indah ini...jika kite pernah maka kite akan berjaya...jika tidak fikir2kanlah...tp adakah fikir kite kepada Allah atau selain itu..maka kite kne muhasabah diri kite...hidup sering dikaitkan dengan erti kesusahan...nak makan susah, nak tidur pon susah...tp selagi kite berfikir macam itu maka kesusahan itu akan berterusan...tidakkah kite berfikir bagaimana kehidupan kite itu dpt menjadi mudah...kerana kite yg mencorakkan kehidupan kite didunia ini utk apa...tidak akan timbul erti susah dlm kehidupan jika kite dekat kepada Allah...kite byk sgt berfkir pasal benda yg x perlu pd kite...sehingga kite x kenal Allah kite sibuk dengan hal duniawi...kite sebuk dengan urusan kite...sehingga kite lupa urusan agama...semua ini yg menyebabkan kehidupan kite susah...kdg2 kite tidak berfikir panjang sebelum membuat sesuatu..kite mula menyesal kite buat salah...tetapi sesalan dunia tidak sama seperti menyesal diakhirat kerana tidak akan ad sesiapa yg dpt menolong kite selain amal  baik kite...byk2 kan berfikir tentang amal daripada perasaan kite..kerana dengan amal kite dpt pupuk perasaan kite..dpt kwl emosi kite..sekadar perkongsian bersama...wsalam...

Sunday, June 12, 2011

syurga itu indah..


Setiap manusia pasti mengimpikan syurga. Membayangkan diri bertelekan di atas dipan-dipan yang indah atau membayangkan diri berjalan sambil berlagu merdu di taman yang segar penuh keharuman, menebarkan harumnya bunga-bungaan di taman firdausi. Sungguh mengasyikkan. Namun tidak mudah untuk kita memasukinya kerana terdapat pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi.
Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa menjalankan syariat-syariat agama dalam usaha mencari keredhaanNya. Hadiah berupa tiket ke syurga ini adalah hadiah yang paling tinggi nilainya daripada segala kenikmatan di dunia. Oleh kerana manusia tidak akan pasti dapat masuk ke syurga, maka banyak insan yang keraguan,gelisah dan bimbang. Sepanjang zaman manusia selalu berdoa kepada Allah agar ditujukkan jalan yang lurus agar dapat menggapai syurga.
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus bererti tunjuki kami jalan ke syurga. Inilah idaman setiap insan. Inilah cita-cita setiap manusia yang berakal. Di syurga,Allah swt telah menjanjikan pelbagai kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Laksana taman-taman syurga di mana terdapat dua bentuk taman sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud:
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (Surah Al Fatihah:6)
01.Dua taman yang dicipta Allah dari perak dengan segala apa yang ada padanya.
02.Dua taman yang dicipta Allah dari emas dengan segala apa yangada padanya.

Subhanallah!Sahabatku,betapa indahnya kenikmatan syurga Allah ini yang disediakan khusus buat para muslimin dan muslimat.
Syurga itu bertingkat-tingkat,antara tingkat syurga adalah:
  1. Syurga Firdaus
  2. Surga 'Adn
  3. Syurga Na'iim
  4. Syurga Na'wa
  5. Syurga Darussalaam
  6. Daarul Muaqaamah
  7. Al-Muqqamul Amin
  8. Syurga Khuldi
Adapun tingkat syurga paling tinggi darjatnya dinamakan Al-Firdaus. Di atas Al-Firdaus inilah terletak Arsy Rahman (mahligai Tuhan). Subhanallah, syurga ini terletak di bawah Arsy.
Sahabatku, terdapat banyak keistimewaan syurga Al-Firdaus. Antaranya ialah penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Inilah nikmat tertinggi yang boleh kita perolehi. Bukan itu sahaja, di tempat yang penuh dengan kenikmatan ini juga Allah telah menciptakan para bidadari yang menawan,cantik dan sempurna keanggunannya serta mempunyai wajah yang bersinar bagai bulan.
Sekurang-kurangnya, penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari) mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Bagaimana pula dengan makanan penduduk syurga? Penduduk syurga itu akan dihidangkan makanan dan minuman yang lazat dan sangat menyelerakan antaranya buah-buahan yang ranum dan pelbagai lagi hidangan yang tidak terbayang kelazatanya.
Alangkah indahnya jika ditakdirkan kita semua ke syurga.Kerana perkampungan akhirat itu adalah pasti,hendaklah kita bermohon kepada Allah untuk beroleh kenikmatan sebegini.Sebagaimana firman Allah SWT:
Ini adalah kehormatan(bagi mereka),dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar(disediakan)tempat kembali yang baik (iaitu)syurga 'Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka.Di dalamnya mereka bertelekan(di atas dipan-dipan)sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu). (Surah Sad:49)
Semoga kita semua akan ditempatkan di syurga Allah SWT kelak serta sentiasa memperoleh rahmat dan keredhaanNya.
Amin..

Wednesday, June 8, 2011

mengejar pengiktirafan manusia..

Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti ada yang mengatakan,
" Wah! Baguslah awak."
" Awak memang baik."
"Jarang jumpa orang macam awak."
" Hebatnya!"
Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan kepada kita. Lantas kira menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan. Kita merasakan ada nilainya kebaikaan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan
"Eleh, tu nak tunjuk baik la tu."
"Buang masa awak saja buat macam tu."
" Jangan buat macam tu lagi lain kali!.", apakah kesannya kepada diri kita?
Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya? Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indaktor kepada keikhlasan kita dalam beramal.
Nilai sesebuah amal itu tidak dapat ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah nilai yang Allah gariskan dalam Al-Quran atau yang ditekankan oleh Rasulullah dalam Hadith baginda. Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah dan Rasul, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji. Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqamah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian.
Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.
Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis. Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya? Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, " Tentu aku akan dikenang orang."
Pernahkan kita membaca karya agung Ulama-ulama silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka? Hati kecil kita masih lagi bersuara, " Tentu orang akan menyanjung aku." Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perasaan tersebut daripada timbul sama sekali, apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.
Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya. Keikhlasan itu perlu dijaga sebelum, ketika, dan setelah melakukan sebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah. Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah.
Saya masih ingat pesan Ustaz Che' Abdul Majid yang pernah saya kenali di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dulu;
Berbuat baik ayuhai teman,
Ke dalam laut engkau campakkan,
Kalau tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iyakah, bukan
Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah dan hanya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah. Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiarkan oleh Allah. Bahkan yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedangkan Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(At-Taubah, ayat 16)
Saya pernah dengar sebuah ungkapan Hukamak, "Jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi manusia, kamu akan dibenci Allah, jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi Allah,  kamu akan disanjung manusia."
Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah berpesan;
" Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya : Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya : " Celaka kamu. Bereti kamu memenggal leher saudara kamu.(Kata-kata itu baginda ucapkan banyak kali). Apabila seseorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata, " Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilai selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu." (HR Muslim)
Jika ada yang memujimu, katakalah "Alhamdulillah" dengan sebenar-benarnya.
- Artikel iluvislam.com

Tuesday, June 7, 2011

ape itu zionisme....??

Zionisme ini ialah satu gerakan atau pakatan yang mahu menghancurkan umat manusia amnya dan agama Islam khasnya. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi.
Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil Synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbi. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum. Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme.
Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin. Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin. Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran.

Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel. Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian. Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme.
Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel. Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme.
Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme. Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rahsia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel. Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel.
Warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel.
Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi. Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian.
Hanan Ashrawi, perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said, intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian. George Habaash, pemimpin popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian.
Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin. Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin. Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah.
Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel. Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka.
Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah. Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa.
Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin.
Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman.
Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan. Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak.
Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus? Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu? Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama. Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya?
Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan.
- Artikel iluvislam.com




Sunday, June 5, 2011

memilih jodoh...

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.
Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.
Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama.
Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.
Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.
Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.
Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.
Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.
Antara yang menarik tulisan berikut:
Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.
Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
Apa Tujuan Berumahtangga?
"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.
Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.
Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.
Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?
Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?
Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.
Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.
Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.
Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.
Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?
Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.
Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.
Benar sekali, pilihlah yang beragama.
"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.
Penyakit "Tidak Jelas"
Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?
Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?
Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.
Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?
Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.
Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".
Hanya 'Beragama'?
Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.
Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.
Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.
Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.
Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.
Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.
Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.
Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.
Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..
Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.


Saturday, June 4, 2011

rejab dan syaaban..

Rejab dan Syaaban merupakan antara bulan yang cukup istimewa dalam takwim Hijrah. Ketika ini ramai yang berpusu-pusu mengerjakan ibadah malam. Antara tujuannya adalah untuk meraih keredaan dan rahmat dari Allah SWT.
Namun sayangnya, ada antara segelintir umat Islam yang kurang arif tentang apa sebenarnya yang membuatkan bulan ketujuh dan kelapan dalam kelendar Islam ini amat istimewa. Menurut Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad, keunikan Rejab terletak pada kejadian Isra' Mikraj yang berlaku pada bulan tersebut. Sementara Syaaban pula sudah tentu pada Nisfu Syaabannya.
"Isra' Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Pada bulan tersebut, Rasulullah SAW kehilangan ramai orang tersayang. Ini menyebabkan baginda berdukacita. Jadi bagi menghilangkan kesedihan di hati nabi, Dia menjemputnya datang berjumpa dengan-Nya. Ini membuatkan rasa sedih itu terhenti," terang Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi.

Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Jibril membawa Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudian ke Sidratul Muntaha dengan menunggang Buraq. Hal ini diceritakan oleh Allah menerusi firman-Nya dalam surah Al Israak ayat 1 yang bermaksud: "Maha Suci (Tuhan) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang amat jauh (Batul-makdis), yang telah kami berkati sekelilingnya, supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami."
Sambung Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi, kejadian Isra' Mikraj tidak boleh dilihat berdasarkan zahir memandangkan rahsianya yang sukar untuk dibongkar. Namun, jika ditinjau dari sudut simbolik, sudah tentu ia memberikan begitu banyak pengetahuan dan pengajaran yang berguna khususnya buat umat Islam. Tegas beliau lanjut, peristiwa tersebut membabitkan dua bentuk perjalanan iaitu dari bumi ke bumi dan bumi ke langit. Isra' adalah merujuk kepada perjalanan pada waktu malam, manakala mikraj berjalan ke atas langit.


petua pelajar cemerlang...


 
Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:

  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    • kita ingat 10% apa yang dibaca
    • kita ingat 20% apa yang didengar
    • kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
    • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    • kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
    ...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....
  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    • pastikan cahaya adalah terang
    • kurangkan gangguan bunyi
    • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    • kerusi dan meja menghadap kiblat
    • jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    • mengingat kembali (recall)
    • menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    • memberikan tumpuan sepanuhnya
    • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji:
    • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    • siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    • duduk tegak dikerusi yang selesa
    • baca doa penerang hati
    • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    • fikir dan ingat kembali isi utama
    • catat/lakar
    • semak semula ketepatan maklumat
    • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    • buat rumusan
    • jawab soalan
    • tampal maklumat yang rumit di dinding
    • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    • jangan makan kepala ikan
    • jangan makan organ dalaman
    • jangan minum semasa makan
    • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    • jangan melihat kemaluan
    • jangan melihat buih
    • jangan membaca nama pada batu nisan
    • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    • banyakkan makan kekacang
    • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    • jangan makan sehingga terlalu kenyang
    • jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    • tampal nota-nota penting di dinding
    • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    • gunakan kaedah akronim
    • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    • mempunyai jadual belajar
    • patuh kepada jadual
    • buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    • taat kepada Allah
    • mendirikan sembahyang
    • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    • hormati & sayangi guru
    • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    • membantu rakan yang memerlukan
    • berdoa dan bersyukur kepada Allah
    • sentiasa bertawakal
    • mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...