My followers

Thursday, April 28, 2011

penyakit zaman moden..




Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. 


Daripada data yang diperoleh, sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada kemurungan sehingga ke tahapskizofrenia. Golongan sakit mental merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan ketegangan dan gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi dan tekanan kerja. Mereka yang gagal membuang tabiat merokok, meminum minuman keras, menghidu gam, mengambil dadah dan berjudi juga tergolong dalam pesakit mental. Masalah mental merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga peringkat tua. Bagi kanak-kanak misalnya malu untuk makan dan ke tandas, takut ke sekolah dan hiperaktif juga termasuk dalam golongan mereka yang mengalami gangguan mental. Bagi golongan tua pula, antara penyakit mental yang dikesan ialah nyanyuk dan mengalami kemurungan.





Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama penyakit psikosis. Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif. Kumpulan kedua ialah penyakit yang bukan psikosis atau neurosis. 

Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkah laku tertentu berlaku secara tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian seseorang dan menjejaskan hubungan dengan orang lain, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis ini. Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah ketakutan yang tidak berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan(depression) dan obsesif kompulsif. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. 

Penyakit mental boleh berbeza dari segi jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya masalah mental. Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah mental ialah faktor genetik dan keturunan. Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.

Terdapat kajian yang menunjukkan kebarangkalian 1:100 peluang untuk seseorang dalam keluarga mendapat penyakit skizofrenia jika ada dalam ahli keluarganya mengidap penyakit tersebut berbanding 1:10 dalam masyarakat umum. Faktor kedua ialah gangguan bahan kimia dalam otak sebagai contoh penghasilan dopmin secara berlebihan menyebabkan masalah skizofrenia dan paras serotonim terlalu rendah menyebabkan masalah kemurungan. Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan berlaku. Faktor lain ialah jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan sosioekonomi yang rendah.

Selain itu, bagi tujuan rawatan pula terdapat beberapa jenis penyakit mental yang memerlukan rawatan segera seperti neurosis, penyakit mental organik seperti nyanyuk, gangguan personaliti, autism, hiperaktif, ketagihan dadah dan cubaan membunuh diri. Antara rawatan yang sering digunakan bagi merawat penyakit-penyakit ini ialah psikoterapi dan kaunseling, rawatan psikotropik, rawatan tingkahlaku dan rawatan elektrokonvulsif. 

- Rawatan kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar. 

- Rawatan psikotropik menggunakan berbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik dan digunakan untuk rawatan penyakit mental. Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik. 

- Rawatan tingkahlaku pula memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Teknik releksasi merupakan satu contoh rawatan jenis ini. 

- Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius.




Pada masa kini, masyarakat mengangap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan mereka kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental. Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.
 


Masyarakat tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang ‘gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu para pesakit mental. Peranan masyarakat dalam penerimaan golongan ini hanya boleh dicapai apabila setiap individu dalam masyarakat mempunyai pengetahuan mengenai penyakit mental secara umum. Mungkin pendedahan ini boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat.

Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat. Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental. Tiada siapa yang mahu membantu untuk meringankan beban hidup mereka. Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat.






* Program Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia.
www.iluvislam.com
Oleh : Muhamad Hanafi Bin Muhamad Hashim

Wednesday, April 27, 2011

menutup aurat itu wajib..


MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam. Bolehkah ustaz memberikan nas-nas dari al-Quran ataupun rujukan hadis yang menjelaskan balasan bagi wanita Islam yang tidak menutup aurat.
Menutup Perkara yang Memalukan atau Sudah Hilang Malu?
JAWAPAN DALAM kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan maknatabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.
Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.
Kumpulan pertama
Menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.
Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak.
Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.
Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan "Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup." Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal.
Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik... Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?
Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.
Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.
Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.
Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.
Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – Wahai 'AhlulBait'dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)
Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: "Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya." (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483).
Manakala Abu Ubaidah berpendapat: "Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah."(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)
Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.
Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.
Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai 'ahl al-bait' dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.
Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan.
Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.
Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.
Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.
Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.
Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya?
Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.
Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.
Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.
Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.
Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut:-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber'T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah 'menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَا‌ۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِى ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِ‌ۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ‌ۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya
(Surah An-Nur 24: Ayat Ke 31)
 

Tuesday, April 26, 2011

tips mencegah zina hati..



Selagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan. Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati. Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.

Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu. Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis.” Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.” - (Surah Yusuf, ayat 24)

  • Ikhlas kepada Allah. Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan: “Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.

  • Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah. Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.

  • Mengurus mata dan pandangan. Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh. Ibnul Qayyim menyatakan: “Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya.”


  • Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik. Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.


manusia oh manusia

manusia oh manusia
tidak kah kau fikirkan kamu hidup di dunia ini untk apa
adakah sekadar untk mengejar kemewahan atau kekayaan
atau sekadar melepaskan hawa nafsumu
pernahkan kau berfikir dan terfikir kepada siapa
yang telah menciptakan kamu 
adakah kamu sudah bersedia untuk bertemu
kepada yg mencipta kamu
atau kamu leka dengan keseronokan dunia
sehingga kamu lupa peranan dan tugas kamu 
didunia untk apa
  
manusia oh manusia
telah dijadikan kamu lelaki dan perempuan supaya kamu membiak
dan berkasih syg antara satu sama lain
dan timbul rasa cinta sejati antara kamu
adakah kamu gunakan nikmat cinta itu sebaik mungkin
atau kamu terlalu menurutkan hawa nafsu
kamu dengan menyalah erti cinta yg suci
kamu sering lupa
kamu tidak berfikir panjang wahai manusia
bangunlah dari dibuai mimpi indah dunia
bangkitlah menentang musuh kamu yg nyata
dan yg berada dalam diri kamu
supaya kamu dirahmati dan diberkati
supaya kamu sedar siapa kamu
dan kamu tahu tujuan hidup kamu


sekadar untk renungan bersama....=)

Monday, April 25, 2011

renungan bersama...


Allah telah memerintahkan kita untuk mengikuti Al-Qur'an dan ketika kita buat seperti Nabi Muhammad saw itu, maka kita sedang mengikuti Quran. Al-Quran dan Sunnah adalah hal yang sama. Quran adalah firman Allah dan Sunnah adalah amalan Nabi saw, yang merupakan tafsiran dari Quran.
Antara Pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani
Allah telah memberitakan kepadamu dengan dua jihad iaitu lahir dan batin. Jihad batin adalah memerangi hawa nafsu, naluri, syaitan, taubat dari kemaksiatan dan ketergelinciran, teguh atas taubat itu, dan meninggalkan syahwat yang diharamkan.
Jihad zahir adalahmemerangi orang kafir yang memusuhi Allah dan RasulNya saw, mematahkan pedang, tombak dan anak panah mereka, mereka membunuh dan dibunuh.
Jihad batin adalah lebih sukar daripada jihad lahir kerana jihad batin adalah sesuatu yang tetap dan berulang-ulang. Bagaimana jihad batinmu itu tidak lebih sukar dari pada jihad lahir kerana jihad batin itu adalah memotong kesenangan-kesenangan nafsu dari hal-hal yang diharamkan untuk meninggalkannya, kemudian mengikuti perintah-perintah syarak dan menjauhi larangan-Nya.
Barangsiapa yang mengikuti perintah Allah adalah dua jihad itu maka ia akan mendapatkan balasan dunia dan akhirat. Luka ditubuh orang syahid seperti terpotong pada tangan salah seorang diantaramu tiada sakit di sisinya, dan mati pada orang yang berjuang melawan nafsunya dan bertaubat dari dosa-dosanya adalah seperti orang haus yang minum air dingin.
Kaum itu (orang salih) bercita-cita agar mereka tidak kosong dari bebanan-bebanan Allah. Mereka telah mengetahui bahawa di dalam sabar terhadap bebanan-benananNya, qadha dan qadarNya terdapat kebaikan yang banyak baik dunia maupun akhirat.
Mereka menyetujui Allah dalam tindakan-tindakanNya, sekali waktu dalam bersabar dan sekali waktu dalam bersyukur. Sekali waktu dalam kedekatan dan sekali waktu dalam kejauhan. Sekali waktu dalam kelelahan dan sekali waktu dalam keenakan. Sekali waktu dalam kaya dan sekali waktu dalam kiskin. Sekali waktu pada waktu sihat dan sekali waktu pada waktu sakit.
Seluruh cita-cita mereka adalah memelihara hati mereka bersama Allah. Ini adalah cita-cita yang paling penting oleh mereka. Mereka mencita-citakan keselamatan mereka dan keselamatan makhluk bersama Khaliq. Mereka sentiasa memohon kepada Allah untuk kemaslahatan-kemaslahatan makhluk.
Seluruh keselamatan itu adalah dalam taat kepada Allah iaitu mengikuti seluruh apa yang diperintahkanNya, menjauhi dari seluruh apa yang dilarang-Nya dan sabar atas seluruh apa yang diputuskan-Nya. Barangsiapa yang mohon perkenan kepada Allah maka Dia memperkenankannya. Barangsiapa yang mentaatiNya maka seluruh makhluk taat kepadanya.
Wajib atasmu memenuhi syarat-syarat Islam. Wajib atasmu memenuhi hakikat Islam, iaitu menyerahkan diri di hadapan Allah. Lapangkanlah makhluk pada hari ini sehingga Allah akan melapangkan kamu esok dengan rahmat-Nya.
Berilah makan dengan yang mubah, bukan yang haram. Duduklah pada pintu syarak dan tetaplah berkhidmat kepadaNya. Dan kamu telah beruntung, tidakkah kamu mendengar firman Allah yang bermaksud:-
"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah."(Al Hasyr:7)
Terimalah yang sedikit yang mantapkan jiwamu atasnya. Jika datang yang banyak dari apa yang telah ditakdirkan maka kamu ada padanya.Jika kamu puas yang sedikit maka jiwamu tidak rosak dan bahagian itu tidak lepas dari kamu.
Hasan Al Basri ra mengatakan: "Orang mukmin itu cukup denagn apa yang mencukupi anak kambing, cukup dengan tamar dan minuman air. Orang mukmin itu makan untuk menjaga kekuatan sedangkan orang munafiq itu makan untuk bersenang-senang.
Dari Luqman Al Hakim bahawasanya ia berkata kepada anaknya: "Hai anakku sebagaimana kamu sakit dan tidak mengetahui bagaimana kamu sakit, maka demikian juga kamu mati dan kamu tidak mengetahui bagaimana kamu mati. Aku memperingatkan kamu dan mencegahmu namun kamu tidak mempedulikan peringatan dan tidak mahu dicegah."
Wahai orang-orang yang ghaib dari kebaikan dan sibuk dengan keduniaan, sebentar lagi dunia akan tua padamu mencekikmu dan tidak berguna bagimu dunia yang kamu kumpulkan itu, dan juga tidak berguna kelazatan yang kamu rasakan itu, tetapi seluruhnya akan menjadi cubaan atasmu.
Sumber Text: Mengenal Diri
وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّن بَعْدِ مَا أَرَاكُم مَّا تُحِبُّونَ مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ وَاللّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
"Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman"
(Surah Ali-Imran 3 : Ayat ke 152) 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...